ARTiSeni... My Interpretation of Art & Appreciation of Life

ART is the product of human creativity... The deliberation of arranging elements in a way to affect the senses of emotions. As art remains subjective, the beauty of art remains in the eye of the beholder... it is all about appreciation, understanding and love... Either you are an artist or just following/love art.. the concepts applies to both..

12.06.2009

KERBAU, MELAYU & BENDANG

Kerbau ke bendang..
Melayu ke bendang..
Kerbau berlaga tanduk…
Melayu berlaga sepanduk…
Kerbau berlaga rebut kawasan…
Melayu berlaga pun dah tak ketahuan..

Kerbau dipegang pada tali…
Melayu dipegang pada janji..
Kerbau dicucuk di lubang hidung..
Melayu ‘Pak Turut’ juga ‘dicucuk hidung’..

Kerbau angguk halau lalat..
Melayu angguk pening lalat..
Kerbau lapar rumput disumbat..
Melayu disogok mudah diperalat..
Kerbau diguna mengangkut barang..
Melayu tak guna suka mengata orang..

Kerbau balik tidur berkubang..
Melayu balik suka bergebang..
Kerbau berkubang bertempat..
Melayu pula dah ramai merempat..
Kerbau bodoh kerana tak cukup akal..
Melayu diperbodoh kerana tak guna akal..

Kerbau korban di buat daging bakar…
Melayu lupa dia pun boleh kena bakar..
Kerbau bakar dicicah sambal asam bercuka..
Melayu ‘kelabu asap’ dibakar kalau masuk neraka…

Kerbau kalut seronok nak cari betina…
Melayu berkemelut main politik, agama dihina…
Kerbau tak terajar.. dah memang dia mudah lupa..
Melayu kurang ajar pula, C.Det kata jenis mudah lupa…
Kerbau boleh tidur sekawan..rumput sama-sama makan..
Melayu kata nak peramai kawan..tapi mulut mengata sakan..

Kerbau akhirnya dah jauh berkurang..
Melayu pula hebat dan gah nya semakin hilang..
Kerbau tiada diganti kubota… dah jadi kari & gulai kurma..
Melayu tak hilang Tun Tuah kata… jadi ‘babu’ dan juga ‘ama’...
Kerbau dah lama mem ‘babu’ .. malah redho walau dibuat kurma..
Melayu sangka politik itu kuasa… kuasa tanpa harta… Melayu Dilema..
Kerbau tahu khidmat bakti pada tuan tersayang… hingga nyawa hilang..
Melayu cuai amanah moyang .... tanah dan harga diri dah jauh melayang...
Kerbau sudah tidak ke sawah… jasa nya di ingat.. kenangan tetap tersemat...
Melayu berubah lah … buang hasad nafsu lahanat.. hidup jangan berkhianat...


------------

Hasil nukilan: Ahmad Al -Qadah, Jeddah, Arab Saudi… 5 Disember 2009.

12.02.2009

LUNAK SUARA RAFEAH BUANG BELUM ADA TANDINGAN
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed

MENJELANG Aidilfitri pasti perasaan kita tersentuh mendengar kelunakan suara Allahyarham Datin Rafeah Buang mendendangkan lagu Bila Takbir Bergema. Tentu ramai kenali lirik lagu itu yang berbunyi:



Antara wajahnya untuk kulit album.

"Dengar, dengar itu, beduk telah berbunyi. Sebulan puasa, tamatlah hari ini. Lekas adikku hiaskan rumahmu, biar serba baru, untuk para tamu."

Menilai keunikan lagu itu, tidak dinafikan ia sudah menjadi salah satu lagi lagu raya evergreen selain Dendang Perantau (P Ramlee), Aidilfitri (Sanisah Huri), Selamat Hari Raya (Saloma) dan Suasana Hari Raya (Sharifah Aini).

Alunan suara yang merdu dan lembut Rafeah cukup membuai perasaan.

Beliau juga amat terkenal dengan lagu seperti Bisikan Hati, Kenangan Di Rantau Abang, Udang Sama Udang, Disebut Jangan Dikenang Jangan dan Daun Daun Berguguran. Selain itu, Rafeah juga diminati ramai dengan lagu duet Juwitaku Sayang bersama Ahmad Jais (kini Datuk).

Di sebalik aura dan suara emasnya itu, perjuangan awal Allahyarham dalam bidang seni suara pernah mendapat tentangan keluarga terutama ibu yang mahu beliau menjadi ustazah.

Mulanya Rafeah hanya menurut saja apa yang direncanakan ibu namun termasuk menyambung pelajaran di sebuah pondok di Indonesia. Bagaimanapun, tanpa pengetahuan orang tuanya, Rafeah menyertai kumpulan pancaragam bernama Senandung Baru.

Gelaran Juara Bintang Satria Singapura pada 1963 menyuntik semangatnya untuk mencuba nasib dalam pertandingan Bintang Radio Malaysia di Kuala Lumpur. Gelaran juara melalui lagu Bakti Setia mengubah hidupnya apabila mula mengukir nama sebagai artis rakaman.

Ketika itu, ibunya tidak lagi menghalang. Suaranya mula bergema di radio menyanyikan lagu irama langgam dan asli. Kejelitaan dan kemerduan suaranya menambat hati peminat.

Sejak bergelar penyanyi pada 1966, anak didik Kassim Masdor ini menghasilkan lebih 20 album iaitu 12 bersama EMI, empat (Senada Records), tiga (PolyGram) dan tiga (Life Records). Kali terakhir, arwah menjayakan album Masih Ada Yang Sayang Istimewa Aidilfitri Artis 60-an serta menjadi artis undangan Kopratasa pada 1996.

Selain menyanyi, arwah juga amat berbakat menulis lirik dan skrip drama radio malah turut berlakon dalam drama radio.

Tidak ramai tahu arwah seorang penulis sebelum menjadi penyanyi.

Selepas tamat darjah lima Sekolah Arab Al-Sagoff (1960) dan Sekolah Perdagangan Inggeris (1963), Allahyarham pernah menjadi anggota sidang pengarang Majalah Perkawalan Tentera (Singapura) pada 1964.

Allahyarham banyak menghasilkan sajak dan cerpen dengan menggunakan nama pena Rina Balkiah dan hasil karyanya disiarkan di majalah Singapura dan radio.

Ketika hayatnya, isteri Tengku Asmawi Tengku Hussein ini turut berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dan membuka kedai cendera hati di Pekan, Pahang. Di samping itu, beliau membabitkan diri dalam bidang politik sehingga dilantik sebagai Bendahari Biro Ekonomi Pergerakan Wanita UMNO Pekan Pahang pada 1986.

Rafeah menghembuskan nafas terakhir dalam tidurnya di Hospital Kuala Lumpur sehari sebelum menyambut ulang tahun ke-55 pada 25 Julai 2002 akibat penyakit barah yang ditanggungnya selama setahun.

INFO RAFEAH BUANG

KELAHIRAN: Singapura

KELUARGA: Anak kedua daripada lapan beradik

SUAMI: Tengku Datuk Asmawi Tengku Hussin

ANAK:

Tengku Ahmad Ashraf, Tengku Khairil Ashraf, Tengku Ameerrul Ashraf (meninggal dunia pada 1993 ketika usia 10 tahun) dan Nor Iman Solehah

ANUGERAH: Penyanyi Sepanjang Zaman

LAGU POPULAR:

Kenangan Di Rantau Abang, Don Juan, Udang Sama Udang, Bisikan Hati, Daun Daun Berguguran, Disebut Jangan Dikenang Jangan, Juwitaku Sayang, Di Luar Jendela.